Selamat Datang Ke Laman Blog Perkongsian Ilmu Cikgu Khomsah

Friday 19 October 2012

aktiviti luar bilik darjah (bayang-bayang)


Di sini terdapat aktiviti-aktiviti lain yang guru boleh cuba.
Terdapat dua bahagian, iaitu aktiviti dalam dan aktiviti luar:





AKTIVITI 1 - 'PUPPET' BAYANG-BAYANG
Bahan-bahan: kertas, gunting, kayu lidi, sellotape

1. Guru meminta kanak-kanak menghasilkan satu 'puppet'.
Contoh 'puppet':













2. Guru meminta kanak-kanak bereksperiment dengan lampu suluh.
-apabila 'puppet' dekat dengan lampu suluh, bayang-bayang yang terbentuk besar
-apabila 'puppet' jauh dari lampu suluh, bayang-bayang yang terbentuk kecil









3. Guru meminta kanak-kanak menggerakkan 'puppet' mereka sambil menyanyi lagu "Bayang-bayang pada Dinding"

"Bayang-bayang pada Dinding"
(mengikut rentak lagu "Labah-labah")
Ada bayang-bayang,
Pada dindingku,
Kadangkala ia besar,
Kadangkala kecil.

Kadangkala ia diam,
Tak bergerak lansung,
Kadangkala berlari,
Ataupun melantun.

Ku suka bayang-bayang,
Pada dindingku,
Tapi ia akan hilang,
Bila buka lampu!


AKTIVITI 2 - CERMIN BAYANG-BAYANG

1. Guru membahagikan kanak-kanak kepada beberapa pasangan.
2. Kanak-kanak A diminta meniru kanak-kanak B.
3. Setelah 2 minit, kanak-kanak B pula diminta meniru kanak-kanak A.


AKTIVITI 3 - HANTU KE?
Bahan-bahan: kain selimut berwarna putih, lampu suluh

1. Guru menggantungkan satu selimut putih yang besar dalam kelas.
2. Kemudian, guru menutup lampu dan mengambil beberapa orang kanak-kanak untuk berdiri dibelakang selimut tersebut.
3. Guru menyalakan lampu suluh.
4. Kanak-kanak diminta meneka bayang-bayang siapa di sebalik selimut.


AKTIVITI 4 - LUKISAN
Bahan-bahan: kertas, pensil warna atau krayon

1. Kanak-kanak melukis gambar yang mempunyai matahari atau sumber cahaya yang lain dan objek yang mempunyai bayang-bayang.


AKTIVITI 5 - ANJING DAN BAYANG-BAYANGNYA

1. Guru bercerita tentang anjing dan bayang-bayangnya.
Contoh cerita:
"Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong untuk mencari makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang didalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang itu dan berlari menuju ke rumahnya. Dalam perjalanan anjing itu melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Sambil meniti jambatan, anjing itu terpandang bayang-bayangnya di permukaan sungai. Ia menyangka ada seekor anjing lain dengan seketul tulang. Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Anjing itu ingin mendapatkan 'tulang' daripada 'anjing' itu. Tanpa berfikir panjang, ia pun menyalak. Sebaik saja ia membuka mulutnya untuk menyalak, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai. Anjing itu menyesal kerana tulang yang dijumpainya tadi terjatuh ke dalam sungai disebabkan sifat tamaknya."





AKTIVITI 1 - BAYANG-BAYANG YANG MANA SATU?

1. Guru meminta kanak-kanak membuat satu barisan yang panjang dan mengambil ruang masing-masing.

2. Guru meminta kanak-kanak mengenalpasti bayang-bayang mereka.
3. Guru bertanya kepada kanak-kanak:
"Yang manakah bayang-bayang kamu?"
"Bagaimanakah kamu tahu?"

"Bagaimanakah terjadinya bayang-bayang kamu?"



AKTIVITI 2 - BAYANG-BAYANG BERUBAH I

1. Guru membawa kanak-kanak keluar pada masa-masa yang berlainan untuk mengukur ketinggian bayang-bayang mereka.
Contoh: 8.00 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari



AKTIVITI 3 - BAYANG-BAYANG BERUBAH II
Bahan-bahan: pinggan kertas, kertas warna, pensil warna atau krayon, ranting kayu, gam atau sellotape

1. Kanak-kanak melukis gambar mana-mana haiwan pada pinggan kertas.
2. Kemudian pinggan kertas tersebut dilekat pada ranting kayu yang kecil dan diletakkan dalam tanah dalam kawasan yang dibenarkan.
3. Sama seperti AKTIVITI 2, kanak-kanak mengukur ketinggian "haiwan" mereka.


AKTIVITI 4 - BAYANG-BAYANG BERUBAH III

1. Guru meminta kanak-kanak berdiri dan ukur ketinggian bayang-bayang mereka.
2. Guru meminta kanak-kanak duduk dan ukur ketinggian bayang-bayang mereka.
3. Guru berbincang dengan kanak-kanak tentang perbezaan ketinggian bayang-bayang yang terjadi.


AKTIVITI 5 - 'SHADOW TAG'

1. Sama seperti permainan 'tag' tetapi kanak-kanak akan sentuh bayang rakan-rakan lain.